TuneList - Make your site Live

Jan 27, 2010

Sahabat n cinta



Assalamualaikum sume... Ni satu email yg ak hntr n dbls oleh sorg ustaz dr mesir. Soklan die ad d bwh... Arap leh dpt ilmu drnya... :D


Email dr ak...



Assalamualaikum.
Terima kasih dengan semua ilmu yang ustaz paparkan di sini. Jika tidak keberatan, bolehkah ustaz meenjawab persoalan saya mengenai Persahabatan antara perempuan dan lelaki dalam Islam. Adakah ia wujud dalam Islam?? Adakah cara yang elok untuk mengelaknya? Terutama bagi pelajar kolej seperti saya yang memerlukan komunikasi antara lelaki dan perempuan. Kadang-kadang saya tertanya cara untuk berkomunikasi yang betul dengan lelaki. Takut pula dianggap sombong dan takut pula dianggap terlalu mesra. 
Terima kasih kerana sudi luangkan masa membaca mesej saya. Mohon balasan dari ustaz. Terima kasih.
Assalamualaikum.


Dibls oleh ustaz tuh!


Waalaikumussalam..

Semoga bermanfaat apa yang saudari dapatkan dari blog yang tak seberapa itu.

Memang sukar untuk mengharungi kehidupan yang 'bebas' pada zaman sekarang ini. Kalau kita lihat dari sikap orang ramai pun ada banyak pendapat. Ada yang bersikap sangat tegas sehingga tidak langsung memberikan ruang agar interaksi antara lawan jenis berlaku. Ada juga yang terlalu terbuka sehingga sukar untuk kita kenal pasti batasan yang sebenarnya ada.

Pada hemat saya, keadaan yang terbaik adalah dengan meletakan diri dalam keadaan yang di tengah-tengah. Tidak terlalu melampau dan tidak juga terlalu terbuka.

Saya kurang bersetuju kalau seorang wanita 'terlampau' dalam menjaga batasan sehingga jalan pun tidak menoleh ke hadapan. Sahabat yang dikenal pun enggan disapa (berselisih tetapi seperti orang bermusuhan atau orang yang tidak kenal). Bila berkata-kata jauhnya sekilo meter dan suaranya bagai bisikan yang tak terdengar. Bagi saya mereka adalah golongan yang melampau.

Tetapi saya juga tak bersetuju dengan mereka yang bersembang sambil gelak terkekeh-kekeh walau pun bukan berduaan. Lebih-lebih lagi bergaul bersama lawan jenis dianggap sama dengan pergaulan dengan sahabat yang sama jenis.

Sukar memang memahami hal ini. Persahabat sesama yang sama jenis dan beza jenis adalah dua perbezaan yang sangat jauh. Antara langit dan bumi. Apa bezanya? Bezanya adalah si lawan jenis boleh dikahwini sedang si sama jenis pasti tidak akan di kahwini.

Maka cadangan saya untuk mampu mengharungi kehidupan yang serba bebas ini adalah sebagai berikut :

1. Menundukan pandangan ketika bercakap dengan lawan jenis. (menjaga pandangan)

2. Tidak berinteraksi dengan lawan jenis dalam keadaan bersedirian dalam apa juga situasi dan keadaan.

3. Tidak membuat-buat. Entah itu buat-buat tak nampak. Buat-buat perlahan suara. Buat-buat tunduk jalan. Segala yang sikapnya buat-buat (tidak natural) sebenarnya akan mengundah perhatian lebih dari orang sekeliling.

4. Tidak bersembang / berinteraksi melainkan sekadar keperluan sahaja.

5. Jika ada urusan peribadi seperti ingin berkenalan dengan tujuan menjadikan calon suami, gunakanlah khidmat orang tengah yang dapat dipercayai. Ia dapat menjaga kesucian perhubungan dan menjaga hati masing-masing.

Selain dari perkara diatas masih banyak lagi hal-hal yang perlu diperhatikan ketika berinteraksi dengan lawan jenis yang bukan mahram. Tetapi mungkin beberapa perkara di atas 
merupakan yang terpenting dari yang penting (menurut saya).

Jika saudari seorang lelaki, saudari akan tahu apa sebenarnya yang sentiasa bermain di minda lelaki ketika berinteraksi dengan wanita. Dari segi sejarah, lelaki adalah asal sedangkan wanita adalah pecahan dari asal. Seperti yang diriwayatkan bahawa hawa dicipta dari rusuknya Adam AS. Maka, adalah fitrah jika lelaki itu akan sangat mudah tertarik dengan wanita. Apalagi dari sudut yang zahir iaitu fizikal. Kerana fitrah semula jadi ini, Allah SWT mensyariatkan kepada lelaki dan wanita untuk menjaga pandangan masing-masing. Kerana fitrah semula jadi ini juga, Allah SWT memerintahkan kepada hamba-hamba yang beriman untuk menutup aurat mereka. Dikernakan fizikal wanita itu sendiri sudah menjadi daya tarik yang hebat kepada lelaki (secara semula jadi) maka Allah memberi perintah agar menutup aurat. Sehingga kecantikan itu terpelihara dari kekotoran dan kenistaan. Allah SWT perintahkan agar semua anggota ditutup melainkan bahagian yang muka dan pergelangan tangan. (Bahkan ada ulama yang mengatakan kesemua anggota tubuh wanita itu adalah aurat).

Memahami konsep bahawa menutup aurat adalah perintah Allah, dan menutup aurat adalah usaha menyembunyikan kecantikan fizikal semula jadi itu agar terpelihara, maka seseorang itu mudah menentukan dengan hati nuraninya yang bersih dan logik minda yang jernih akan bentuk pakaian yang benar-benar ideal menurut Islam. Sungguh tiada erti jika bahagian itu tertutup dengan kain tetapi bentuk, ukuran dan lekuk masih jelas terlihat kerana ia tidak mencapai objektif menutup aurat iaitu menyembunyikan kecantikan.

Apa kaitan aurat dengan persahabatan?

Apabila seseorang tidak mengindahkan perihal aurat mereka. Suara mereka. Gaya dan 
tingkah laku mereka. Mereka akan mula lupa bahawa persahabatan yang akan terjalin atas landasan apa. Sungguh betapa ramai mereka yang bersahabat bukan kerana kemurnian persahabatan tetapi malah kerana kecantikan yang menjadi habuan dari sebuah persahabatan. Ya! Itulah hakikatnya.

Maka tidak pelik ketika ada golongan wanita yang ingin memperjuangkan hak kewanitaan dengan mengatakan bahawa berpakaian seperti tidak berpakaian adalah 
hak asasi manusia yang perlu dihormati? Bahkan tidak pelik juga ketika kita menemukan golongan wanita yang bersungguh-sungguh menyembunyikan keseluruhan anggota tubuhnya bahkan wajahnya! Kerana yang demikian itu membuatkan orang sekelilingnya berinteraksi dengannya tanpa menghirau ciri-ciri fizikalnya. Maka, dia menjadi orang yang lebih bebas. Bebas dalam erti yang lebih mendalam dan konkrit.

Kaitan antara aurat dan persahabatan menjadi semakin meruncing dan penting bila mana Allah SWT sendiri mensifatkan manusia sebagai satu makhluk yang lemah. Ya, manusia sangat lemah. Lemah untuk menahan nafsunya. Lemah untuk menolok bisikan syaitan. Lemah untuk gagah berpegang teguh kepada Al-Quran. Kerana kelemahan manusia inilah, Allah SWT melindungi manusia dengan menutup sekecil-kecil lubang, menghapus sekecil-kecil ruang, mentidak-adakan sekecil-kecil peluang untuk manusia terjerumus. Maka, pergaulan diperintahkan agar dijaga dengan begitu sungguh-sungguh sehingga 'terlanjur' terhapus dari kamus seorang yang beriman.

Ketika seseorang berjaya melindungi auratnya, dia seumpama meletakan mahkota tepat diatas kepalanya. Terpelihara dan anggun. Menutup aurat yang zahir akan menjadi sebab tertutupnya seribu satu ruang maksiat. Apalagi jika si penutup aurat tadi menjaga tingkah laku, santun, menjaga pandangan dan seterusnya. Ia akan menjadi semakin terpelihara.

Akhir kata, bersahabatlah dengan lawan jenis dengan segala cara yang sederhana, seadanya, sekedarnya. Itu adalah cara Allah SWT memelihara diri kira dari segala keburukan.

Beberapa hari lepas kita membaca di salah satu akhbar negara kita yang menceritakan tentang laporan seorang gadis yang telah diperkosa oleh teman lelaki dan beberapa orang sahabatnya. Ketika membaca kisahnya, memang jelas ia menceritakan niat jahat lelaki itu. Tetapi persoalannya, mengapa gadis itu mahu keluar pada jam 11 malam ketika diajak oleh teman lelakinya itu. Bukankah itu sama sahaja dengan menyerahkan diri kepada mala petaka.

Mungkin ada yang akan berkata secara sinis, "itu kerana memang lelaki itu yang bejat! kalau orang yang baik dan warak pasti hal macam itu tak akan terjadi.." Saya katakan kepada mereka, "apakah ada jaminan?" Tidak ada satu jaminan apa pun yang dapat menghalang seekor domba berubah menjadi serigala. Kerana sebaik apa pun manusia, dia masih mempunyai nafsu dan keinginan. Maka hanya diri kita yang dapat melindungi diri kita. Bagaimana? Tentulah dengan mencegah sekecil apa peluang yang menghantar kepada sebuah bala walau ia hadir dengan topeng persahabatan!

Semoga Allah sentiasa memelihara kita dari segala keburukan. Kita juga perlu memelihara diri kita dengan mentaati perintah Allah agar berhak mendapat pemeliharaan oleh Allah SWT.

Untuk maklumat yang lebih terperinci mengenai cara dan adab-adab berinteraksi dengan lawan jenis bolehlah saudari buat sedikit kajian dengan mentelaah Surah An-Nur. Bacalah terjemahannya dan perbincangan ulama mengenai tafsirannya.

Maaf jika jawapan ini tidak memuaskan.
Terima kasih bertanya dan semoga bermanfaat.
Wassalam..


attaqiyyubillahi
Nasr City, Cairo, Egypt
http://taqeyyabella.naemy.net/




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...